Showing posts with label Info Aqidah. Show all posts
Showing posts with label Info Aqidah. Show all posts

20 January 2012

Salahkah Jika Wanita Meminang & Menawar Diri Kepada Lelaki?

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra bahawa telah bersabda baginda rasulullah salallahualaihiwasalam :
“Jika datang kepada kamu seorang lelaki yang engkau redhai agamanya dan akhlaknya untuk meminang perempuan kamu maka nikahkanlah dia jika tidak kamu lakukan demikian maka akan timbullah fitnah dan kerosakan”. (hadith hasan riwayat Tirmidzi no 1084).
Perbuatan menawarkan diri kepada lelaki yang soleh dan beragama bukanlah sesuatu yang aib dan memalukan sebaliknya merupakan sunnah dan kebaikan ini berdalilkan kepada hadith dari Anas ra yang berkata telah datang seorang wanita kepada baginda rasulullah salallahualaihiwasalam dan menawarkan dirinya kepada baginda dengan berkata:
“Wahai rasulullah apakah engkau berhajat kepada aku?” lalu ketika menceritakan hadith ini maka menyampuklah anak perempuan Anas ra dengan mengatakan sungguh kurang malu perempuan itu dan buruk akhlaknya, lalu dijawab oleh Anas ra : “Sesungguhnya dia itu (perempuan yang menawar diri) lebih mulia dan baik darimu kerana dia mencintai nabi salallahualaihiwasalam dan menawar dirinya demi kebaikan”. (lihat hadith sahih dalam riwayat Bukhari no 5120 , Nasaie dan Ibn Majah).
Hadith di atas tidaklah hanya mengkhususkan kepada baginda rasul sahaja bahkan ianya menjadi contoh teladan kepada semua wanita muslimah dan dibolehkan mereka menawarkan diri mereka kepada semua lelaki soleh muslim yang mukmin kerana apa yang terjadi kepada rasul selagi tidak dikhususkan maka ianya merupakan perbuatan sunnah yang umum.
“Sesungguhnya, adalah bagimu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah dan balasan baik hari akhirat, serta ia pula menyebut dan banyak mengingati Allah.” (Surah Al-Ahzab : 21).
Adapun menjawab ayat al-Qur’an yang menyebut kekhususan hanya untuk nabi seperti:
“Dan perempuan mukminah yang menghadiahkan dirinya kepada rasul jika rasul suka mengahwininya; sebagai perkainan hanya khusus bagi kamu dan bukan untuk orang yang beriman yang lain ” (Al-Ahzab : 50).
Dimaksudkan pengkhususan di sini ialah dalam masalah maskahwin iaitu dikhususkan untuk rasulullah bernikah dengan perempuan yang menghadiahkan dirinya kepada baginda nabi tanpa perlu baginda membayar maskahwin sedangkan bagi umat Islam yang lain diwajibkan membayar maskahwin namun untuk nabi diberi pengecualian (lihat Tafsir Al-Qur’anul Azim oleh Ibn Katsir ra m/s 124 Jilid 3).
Sebagai kesimpulan adalah menjadi sunat dan galakkan kepada wanita muslimah bagi menawarkan diri mereka kepada lelaki yang soleh dan beragama jika benar lelaki tersebut dilihat dapat membimbing diri mereka dan memandu mereka ke jalan yang benar.
Malu itu sebahagian dari iman seperti yang disebut dalam hadith Ibu Umar ra bahawa baginda rasul menyebut:
“Sesungguhnya malu itu sebahagian dari iman” (hadith sahih riwayat Bukhari no 24 dan Muslim no. 36, Abu Daud, Tirmidzi, Nasaie dan Ibn Majah).
Begitu juga dalam hadith yang lain baginda mengatakan:
“Sesungguhnya tidaklah datang malu melainkan membawa kebaikan” (hadith sahih riwayat Bukhari no 6117 dan Muslim no 37).
Meskipun wanita Islam yang muslimah dan solehah itu akan mempunyai rasa malu, sifat malu itu merupakan perhiasan namun tidaklah patut malu itu menahan dari tercapainya kebaikan dan terlaksananya fitrah dan amal ibadah kerana golongan yang beriman dan solehah itu antara ciri-ciri mereka ialah bersegera kepada kebaikan dan kebajikan.
“Dan bersegeralah kamu (berlumbalah) dalam kebaikan” (Al-Maidah : 48).
Bagi mereka yang merasa malu dan segan menawarkan diri secara berdepan mereka boleh menggunakan bahasa lapik atau perumpamaan, sindiran, kiasan atau mengunakan orang tengah dan perantara sebagai menyampai pesanan dan hasrat .
Berkata Ibn Hisyam ra dalam mengisahkan teladan Khadijah ra dalam menawarkan dirinya kepada rasulullah dengan mengutuskan perantara (orang tengah) bagi menyampaikan hajatnya kepada Rasulullah dengan menyampaikan pesanan Khadijah ra:
“Wahai anak saudara pak cikku, sesungguhnya aku telah tertarik kepadamu dalam kekeluargaanmu dan sikap amanahmu dan kebaikan akhlakmu dan benarnya kata-katamu….” (lihat Sirah Nabawiyah oleh Muhammad Abd Malik Ibn Hisyam m/s 122 Jilid 1).
Siapakah wanita Islam yang lebih baik dari Khadijah ra? Wanita pertama Islam, serikandi utama dan mulia yang disebut dalam hadith yang sahih dari riwayat Ummul Mukminah Aisyah ra dengan katanya:
Aku tidak pernah mencemburui mana-mana isteri nabi melainkan Khadijah walaupun aku tidak pernah menjumpainya lalu beliau menceritakan: Sesungguhnya rasulullah apabila menyembelih kambing akan berkata:
“Hantarkanlah sebahagian daging ini kepada sahabat Khadijah” lalu berkata Aisyah dengan marah pada suatu hari: Khadijah ? (iaitu seperti mempersoalkan kenapa Khadijah) lalu dibalas oleh baginda rasulullah:
“Sesungguhnya aku diberi rezeki oleh Allah untuk mencintainya”. (hadith sahih riwayat Muslim no. 134 Jilid 7 dalam kitab Al-Minhaj).
Ummul Mukminah Khadijah ra yang kini di jannah merupakan wanita pertama dan mulia yang menawarkan dirinya kepada baginda demi mencari kebaikan dan kebajikan.
“Tidaklah kami tertinggalkan sesuatu perkara pun dalam kitab melainkan telah kami terangkan segalanya” (Surah Al-An’am : 38).
Islam adalah agama yang syumul. Hiduplah dibawah panduan syariat semoga bermanfaat di dunia dan akhirat. InshaAllah.
Waallahualam
Copy By Raihan

13 September 2011

Puasa Ganti + Puasa Enam ~ Ustaz Zaharuddin Abd. Rahman

Puasa sunat Syawal sememangnya amat popular di kalangan masyarakat kita hari ini. Dikesempatan ini saya suka menasihatkan semua yang ingin mengamalkan puasa sunat ini agar berhati-hati dari tipu daya syaitan yang kerap berjaya menjadikan seseorang individu yang berpuasa itu bermegah dan riya’ dengan amalannya.

” kau , dah hari ker berapa dah?”

“aku dah 5 hari dah ni”

“esok aku raya (sunat syawal)”

Ini adalah antara kata-kata yang kerap didengari di bulan syawal ini.

Ia menjadi seolah-olah satu budaya untuk berlumba menamatkan puasa enam. Ia agak terpuji tetapi ia dicemari oleh habahan-hebahan yang dibuat tentang bilangan hari puasanya bertujuan melihat ‘sapa lebih hebat?’.

Amat dibimbangi, tindakan ini bakal menghilangkan seluruh pahala puasa sunatnya. Kerana ia boleh menjadikan seseorang merasa riya, serta memperdengarkan amalan masing-masing yang sepatutnya di sembunyikan khas untuk Allah.

Ziarah & Puasa Sunat

Saya tidak nafikan ada yang terpaksa memberitahu apabila ada rakan yang ajak makan dan menziarahi rumah rakan. Tatkala itu, ia tidaklah terkeji dan masing-masing bertanggung jawab menjaga niat dan hati masing-masing agar tidak timbul perasaan tersebut.

Puasa sunat ini juga tidak sewajarnya menjadi penghalang menerima jemputan rakan-rakan yang membuat rumah terbuka.

Isu Keutamaan Antara Sunat Syawal & Qadha

Selain itu, satu isu yang kerap ditimbulkan berkenaan hal ini adalah tentang penggabungannya dengan puasa ganti ramadhan dan puasa yang mana satu lebih perlu diutamakan.

Jika ada yang bertanya manakah yang lebih baik di antara puasa sunat syawwal dan puasa qadha?. Jawapannya sudah tentu adalah puasa Qadha. Ini terbukti dari hadis Qudsi yang sohih

وما تقرب إلي عبدي بشيء أحب إلي مما افترضت عليه وما يزال عبدي يتقرب إلي بالنوافل حتى أحبه

Ertinya : “..dan tidaklah hampir kepadaku seorang hambaKu dengan apa juapun, maka yang lebih ku sukai adalah mereka melaksanakan amalan fardhu/wajib ke atas mereka, dan sentiasalah mereka ingin menghampirkan diri mereka kepadaKu dengan mengerjakan amalan sunat sehinggalah aku kasih kepadanya…” (Riwayat Al-Bukhari, no 6021)

Hadis tadi sebagai asas keutamaan, walau bagaimanapun dari sudut praktikal jawapannya mungkin berbeza menurut keadaan diri seseorang.

Maksudnya begini, jika seseorang itu perlu Qadha puasanya selama 30, berpuluh atau berbelas hari (kerana nifas atau haid yang lama di bulan Ramadan sebagai contoh) dan tubuhnya juga sihat dan di yakini masih kuat. Eloklah ia mengerjakan puasa sunat Syawwal terlebih dahulu di ketika itu . Ini adalah kerana waktu sunnat puasa Syawwal yang singkat berbanding Qadha (sepanjang tahun).

Bagaimanapun harus di ingat, walaupun waktu bagi puasa Qadha adalah panjang, kita tetap tidak pasti adakah kita mampu sampai ke tarikh itu atau ajal menjelang dahulu.

Seseorang yang mati sebelum mengganti puasa Ramadannya tetapi sudah berpuasa sunat Syawwal akan pasti bermasalah kerana ia dikira masih berhutang dengan Allah SWT.

Bagaimanapun seseorang yang mati setelah berjaya menggantikan puasanya tetapi tidak sempat berpuasa sunat Syawwal, pastinya tiada sebarang masalah pun, malah mungkin ia juga mungkin boleh mendapat pahala sunat syawal itu sekali. Berdasarkan sabda Nabi SAW

‏إن الله كتب الحسنات والسيئات ثم بين ذلك فمن هم بحسنة فلم يعملها كتبها الله له عنده حسنة كاملة فإن هو هم بها فعملها كتبها الله له عنده عشر حسنات إلى سبع مائة ضعف إلى أضعاف كثيرة ومن هم بسيئة فلم يعملها كتبها الله له عنده حسنة كاملة فإن هو هم بها فعملها كتبها الله له سيئة واحدة

Ertinya ” … barangsiapa yang beringinan melakukan kebaikan tetapi tidak melakukannya, telah di tuliskan oleh Allah baginya pahala penuh, maka jika ia beringinan dan kemudian melakukannya, di tuliskan 10 pahala sehingga 700 kali ganda..” ( Riwayat Al-Bukhari, no 6010)

Kita harus memahami bahawa darjat puasa Qadha adalah lebih tinggi dan tanggungjawab bagi menunaikannya adalah jauh lebih besar dari sunat Syawwal, ini kerana puasa qadha adalah puasa wajib dan merupakan ‘hutang’ ibadah dengan Allah berbanding puasa syawwal yang hanyalah sebagai tambahan pahala.

Isu Gabung Sunat & Qadha

Isu menggabungkan puasa qadha dan syawal sememangnya amat popular, pandangan ringkas saya adalah seperti berikut :-

Tidak elok untuk menggabungkan kedua-duanya bagi mereka yang mampu (dari sudut kesihatan tubuh dan lain-lain) untuk memisahkannya. Ini kerana sepengetahuan saya tiada dalil yang specifik membuktikan Nabi SAW pernah melakukannya atau menganjurkan kepada para sahabat untuk menggabungkannya.

Apabila Nabi, sahabat dan salaf soleh tidak melakukannya maka pastinya ia bukanlah amalan yang terpilih dan terbaik kerana pilihan Nabi SAW dan para sahabat selamanya adalah yang terbaik.

Malah terdapat juga hujjah-hujjah yang menyebabkan pandangan yang yang mengharuskan penggabungan ‘qadha dan ganti’ itu dipersoalkan, iaitu :-

1. Jika seseorang mengatakan boleh gabung puasa qadha (yang wajib) dengan puasa syawwal (yang sunat) maka sudah tentu selepas ini timbul pula individu yang cuba menggabungkan solat wajib dengan solat sunat, seperti gabungan solat isyak dengan terawih, atau subuh dengan ‘tahiyyatul masjid’ atau dengan solat sunat fajar, atau solat jumaat dengan solat sunat ‘tahiyyatul masjid’. Maka ini pasti menyebabkan masalah lain timbul dalam ibadah wajib termasuk rekaan-rekaan pelik seperti solat fardhu subuh campur istikharah dan lain-lain.

2. Menurut Prof. Dr Syeikh Abd Malik as-Sa’dy (ex-Lajnah Fatwa Iraq) dan Prof Dr Mohd ‘Uqlah el-Ibrahim (Jordan) mereka berpendapat bahawa amalan wajib tidak boleh digabungkan dengan apa-apa amalan wajib atau sunat lain, kerana amalan wajib memerlukan tumpuan khusus yang tidak berbelah bahagi semasa pelaksanaannya dan ia perlu bagi mengangkat tuntutan kewajibannya. Justeru, tindakan menggabungkan ini pasti mengurangkan kesempurnaan hamba dalam menunaikan tuntutan wajib mereka. Wallahu a’lam.

3. Tindakan A’isyah ra yang melewatkan Qadha pula boleh di jadikan hujjah bahawa beliau mengasingkan kedua-dua puasa Qadha dan Syawwal. Maka ini lah yang terpilih sepatutnya. (tidak gabungkan kerana aisyah tidak menggabungkannya) . Aisyah menyebut :

كأن يكون عليّ الصيام من شهر رمضان فما أقضيه حتى يجئ شعبان

Ertinya : Kewajiban ke atasku untuk puasa (Qadha) dari puasa Ramdhan, tidaklah aku menggantinya sehingga datang sya’ban” ( Riwayat Muslim, no 101)

4. Amalan wajib (qadha) memerlukan niat yang ‘jazam’ (tepat dan pasti) maka tindakan mengabungkan ia dengan niat puasa sunat mungkin boleh merosakkannya kepastiannya. Kerana itulah ulama yang mengizinkannya mencadangkan agar diniat puasa qadha sahaja, adapun syawwal itu dipendam sahaja dengan harapan Allah menerimanya.

Bagaimanapun, ulama yang mencadangkan ini jelas menyatakan bahawa tindakan menggabungkannya tetap mengurangkan pahala sunat syawwal ini kerana tidak diniat dan tidak dilakukan sepenuhnya (Hasyiah As-Syarqawi ‘ala al-Tahrir, Syeikh Zakaria Al-Ansary, 1/427; naqal dari Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, Atiyyah Saqr, 2/23)

5. Malah ada pula yang berhujjah bahawa amalan sunat tidak boleh ditunaikan sebelum amalan fardu. Demikian menurut Syeikh Abu Raghib al-Asfahani, Syeikh Ihsan Muhammad ‘Aayish al-’Utaibi dan juga di sebutkan oleh Dr Yusof Al-Qaradawi di dalam kitabnya Fiqh Awalwiyyat. Ini ada asasnya kerana berdasarkan hadith Nabi SAW

من صام رمضان ثم أتبعه ستاً من شوال فكأنما صام الدهر

Ertinya: “Barangsiapa telah berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan 6 hari dari dari Syawwal (puasa) maka ia adalah seperti (pahala) puasa ad-Dahr (setahun)” (Riwayat Al-Bukhari, no 6502).

6. Kita dapat melihat penggunaan ‘fe’il madhi’ iaitu ‘past tense’ bagi puasa Ramadan, mungkin sahaja boleh membawa makna sesiapa yang belum lengkap puasa Ramadannya perlulah melengkapkan dahulu, kemudian barulah mereka layak bagi mendapat peruntukan pahala sunat Syawwal.

7. Hujjah ulama yang mengharuskannya adalah hadith

” Sesungguhnya amalan itu berdasarkan kepada niat, dan bagi seseorang apa yang diniatkan.” (Riwayat Bukhari, no 1, 1/12)

Ia dilihat agak umum, memang benar apa yang diniatkan adalah penting, tetapi niat mempunyai kaedah dan cara-caranya bagi diterima, contohnya seperti niat solat yang di cadangkan di dalam mazhab Syafie dimulakan semasa lafaz takbiratul ihram di sebut, jika tidak niat itu tidak dikira. (Rujuk Al-umm, hlm 78, cet Baytul Afkar; Rawdhah At-Tolibin, An-Nawawi, cet Baytul Afkar, hlm 103).

Justeru, niat juga ada displinnya dan tidak boleh di buat sesuka hati di dalam ibadah.

Kesimpulan

Kesimpulan dalam yang mengutarakan perbincangan yang terbatas ini : Elok sangat tidak digabungkan dan elok sangat didahulukan yang wajib (qadha) daripada sunat (syawwal);

Pandangan yang membolehkan saya anggap sebagai rukhsah “keringanan” bagi mereka yang mempunyai kesukaran kerana uzur dan tidak mampu untuk mengasingkannya. Antara ulama yang membolehkan untuk menggabungkannya adalah beberapa ulama dari mazhab Syafie (Mughni al-Muhtaj, 1/602), Assembly of Muslim Jurists in America (AMJA), Syeikh Atiyyah Saqar, panelis fiqh Islam online.net dan beberapa yang lain.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/


29 July 2010

Saat terakhir Umar al-Khattab

Disebut dalam Kitab agama Yahudi bahawa, "Suatu waktu akan ada seorang raja orang Islam yang akan menakluk Baitul Maqdis (Palestin) dengan menaiki keldai."Apabila peluasan wilayah Islam berlaku pada zaman Umar Al-Khattab, amirul mukminin ini telah ke Palestin dengan menunggang keldai.

Orang Yahudi melihat perkara tersebut sebagai satu kebenaran seperti yang tercatat dalam kitab mereka.

Disebut dalam Sahih Bukhari bahawa khalifah Umar al-Khattab berdoa, "AllahummarZuqni Syahadatan fii sabiilika, waj `al mauti fii bilaadi rasuulika." Yang bermaksud, "Ya Allah berikanlah kepadaku syahid dalam jalan-MU dan jadikan matiku di negeri Rasul-MU (Muhammad S.A.W)."

Doa ini dimakbul Allah apabila beliau ditikam ketika sedang menunaikan solat Subuh. Pembunuh khalifah Umar bernama Abu Lu'luah. Beliau membunuh khalifah kerana tidak berpuas hati dengan kharaj. Pada zaman pemerintahan Umar terdapat dua jenis kharaj (cukai) iaitu kharaj kepala dan tanah. Kharaj tanah oleh orang bukan Islam kembali kepada kemanfaatan orang bukan Islam juga. Abu Lu'luah berpendapat bahawa sistem tersebut tidak adil kepadanya.

Dalam konteks semasa, cukai pendapatan perlu dibayar dan manfaatnya diambil oleh semua orang sama ada Islam atau tidak. Bagi orang Islam yang menunaikan zakat, mereka dikecualikan membayar cukai pendapatan. Tetapi zakat dimanfaatkan kepada orang Islam semata-mata. Bermakna orang Islam mendapat bahagian daripada zakat dan cukai pendapatan yang turut dibayar oleh orang bukan Islam.

Maka betapa dalam Islam, jika dilaksanakan kharaj (iaitu cukai tanah) yang diusahakan oleh orang Islam hasil tersebut tidak boleh dimanfaatkan oleh orang bukan Islam. Pasti perkara ini lebih adil untuk semua sama ada Islam atau bukan.Umar meninggalkan hutang 86 ribu dirham. Itulah wang yang diguna untuk membantu urusan rakyat yang dipimpinnya. Dia tidak menggunakan wang untuk membeli harta benda. Malahan beliau dikatakan cukup berhati-hati dalam pentadbiran sehingga pernah diberitakan bimbang kalau-kalau ada seekor kambing yang tergelincir. Kalau pemimpin kita hari ini teliti seperti Umar al-Khattab, nescaya tidak ada jalan raya yang berlopak-lopak.

Umar menamakan enam sahabat yang akan menggantikan beliau.
Mereka ialah;
1. Usman bin Affan.
2. Ali Bin Abi Thalib.
3. Abdul Rahman bin Auf.
4. Thalhah bin Ubaidillah.
5. Zubir bin Awwam.
6. Saad bin Abi Waqash.

Namun begitu Thalhah, Zubir dan Saad menarik diri. Maka ketiga-tiga orang yang tinggal berbincang sesama sendiri. Abdul Rahman Bin Auf telah secara sukarela menarik diri dan menjadi orang tengah untuk menilai kelayakan Usman dan Ali.

Akhirnya setelah dibuat pertimbangan yang saksama, Usman bin Affan dipilih sebagai pengganti Umar al-Khattab. Apabila Usman bin Affan dilantik, Ali bin Abi Talib menjadi orang yang pertama member bai'ah (ikrar taat setia).

Nota kuliah Maghrib, Ust. Azhar Yahya, Masjid al-Hidayah, Sentul, 18 Julai 2010.

Percubaan Mencuri Jasad Rasullah

Di masa peperangan antara orang Islam dengan orang-orang kafir Kristian yang dikenali dengan perang Salib dan telah berlangsung sekian lama. Kemenangan dan kekalahan silih berganti pada kedua belah pihak. Umat Islam berjuang dengan habis-habisan menentang musuhnya. Segala kekuatan dikerahkannya. Kerana pada waktu itulah kesempatan yang paling baik untuk memperolehi syahid di medan perang sebagaimana yang diperolehi para sahabat Rasulullah dalam perjuangan menentang orang kafir yang cuba melenyapkan Islam.

Raja-raja dari semua kerajaan Islam memberikan sokongan padu kepada setiap panglima perang yang tampil memimpin para pahlawan Islam menentang kaum kafir Kristian yang datang dari Eropah. Salah seorang raja yang banyak jasanya dalam perang Salib ini adalah Sultan Nuruddin Zangki (Zenggi), keturunan bangsa Kurdi dan berkedudukan di Mosul. Baginda yang diputerakan tahun 1118 Masihi dan wafat 1174 Masihi, adalah seorang raja yang terkenal taqwa, wara’ dan adil. Kerana keadilannya pula hingga digelari Malikul Adil (Raja yang adil). Pada waktu malam baginda bangun untuk solat tahajjud dan berdoa agar rakyatnya hidup bahagia dalam keredhaan Allah dan terselamat di akhirat nanti. Pada sebelah siang beliau banyak berpuasa dan selepas solat, wiridnya sentiasa panjang.

Seluruh kekuatan yang dimilikinya adalah untuk menentang serangan tentera Salib agar tidak dapat menjajah negara Islam. Beliaulah yang membentangkan jalan kepada Shalahuddin Al-Ayyubi, panglima perang Salib di pihak Islam yang telah berjaya membebaskan bumi Palestin dari cengkaman kaum Salib. Baginda sentiasa tenang dan gembira melayan semua rakyat dan menteri-menterinya, sekalipun negara dalam keadaan darurat perang, kerana beliau sudah bermimpi berjumpa Rasulullah SAW pada suatu malam. Dalam mimpi itu Sultan Nuruddin melihat Rasulullah dalam keadaan gembira, menandakan perjuangan kaum Muslimin yang dipimpinnya dalam berjihad akan berhasil.

Selanjutnya, suatu hari Malikul Adil kelihatan tidak seperti biasanya, kali ini baginda nampak sangat risau, seolah-olah ada yang tidak kena pada dirinya. Menteri-menterinya menyedari hal ini, namun mereka tidak berani bertanya. Kerisauan dan kegelisahan tersebut berpunca daripada mimpinya beberapa malam yang lalu. Mimpi itu sangat mengerikan dan sukar ditafsirkan. Dalam mimpi itu, baginda memakai baju yang cantik gemerlapan dan berada di hadapan Rasulullah. Rasulullah memegang tangan Nuruddin dan menunjuk kepada dua orang lelaki yang berada di hadapannya dan bersabda: “Kenalilah aku. Bebaskan aku dari dua orang itu!” Nuruddin terbangun, namun wajah Rasulullah dan dua orang lelaki itu kelihatan jelas di hadapannya seperti bukan mimpi. Wajah kedua lelaki itu kelihatan kemerah-merahan.

Tidak seorang pun yang diberitahu tentang mimpi itu, dan beliau yakin bahawa yang datang itu benar-benar Rasulullah SAW. Kerana beliau sendiri telah bersabda: “Siapa yang melihat aku dalam mimpi, samalah ertinya dengan melihat aku di waktu bangun, kerana syaitan tidak akan dapat menyerupai aku.” Keyakinan Raja Nuruddin akan kesahihan mimpinya itu dikuatkan lagi oleh mimpinya yang dahulu sehubungan dengan peperangan. “Ketika itu Rasulullah kelihatan sangat gembira sekali. Tapi mengapa kali ini baginda kelihatan amat sedih? Dan siapakah gerangan dua lelaki yang ditunjuk oleh Rasulullah itu?” Nuruddin tidak habis-habis merenung dan berfikir: “Ah, ini tentu ada yang tidak mengena pada keperibadian Baginda yang mulia atau akan ada sesuatu yang mengancam maruah umat Islam,” kata Nuruddin dalam hatinya.
Dekat seminggu lamanya Raja adil itu memikirkan dengan risau. Tiba-tiba mimpi itu berulang lagi, peristiwa seperti mimpi yang pertama dan Rasulullah memanggil-manggil Nuruddin lagi: “Kenalilah aku dan bebaskan aku dari dua orang itu!” Baginda terkejut dan bangun kemudian langsung berwudhu’, terus bersolat tahajjud dan berzikir sebanyak-banyaknya di malam sunyi itu. Kerana terlalu lama berzikir, baginda tertidur dalam duduk dan wajah Rasulullah menjelma lagi. Dalam masa yang tidak seberapa lama, sudah tiga kali beliau berjumpa Rasulullah dalam keadaan muram. “Perkara ini benar-benar serius agaknya dan tidak boleh ku simpan seorang sahaja,” kata Nuruddin pada dirinya sendiri. Apabila baginda tergerak hatinya untuk memanggil orang kepercayaannya, baginda teringat akan sabda Rasulullah: “Bahawa apabila seseorang bermimpi buruk, hendaklah jangan diceritakan kepada sesiapa pun. Insya Allah tidak akan terjadi apa-apa.” Nuruddin berfikir sekejap. Sanggupkah dia menyimpan mimpi itu seorang diri? Tidak, mimpi itu sudah tiga kali datang, dan yang datang adalah manusia termulia.

Selepas solat Subuh di pagi hari Raja Nuruddin memanggil seorang menteri kepercayaannya, Jamaluddin Al-Mushly. Lelaki itu sangat wara’, taqwa dan amanah seperti Rajanya juga. Oleh kerana itu, dialah satu-satunya orang yang dipanggil oleh Nuruddin sehubungan dengan mimpinya. Kerana Nuruddin yakin, bahawa walau bagaimanapun Jamaluddin tidak akan membocorkan rahsia negara dan raja. Hari masih terlalu pagi, suasana masih gelap, di sana sini kedengaran kokok ayam silih berganti dan waktu kerja pun masih lama lagi akan bermula. Namun menteri Jamaluddin Al-Mushly sudah berangkat ke istana negara kerana menjunjung titah baginda.

“Engkau adalah orang yang paling ku percaya untuk menyimpan rahsia negara selama ini. Oleh kerana itu aku tidak merasa ragu lagi menceritakan mimpiku padamu,” kata Raja kepada Jamaluddin dan menceritakan mimpi yang dialaminya. Jamaluddin mendengarkan dengan serius. Ia sendiri turut merasa gerun mendengarkan cerita Rajanya. Kemudian Jamaluddin berkata: “Ini memang betul-betul mimpi yang benar wahai tuanku, kerana syaitan tidak akan dapat menyerupai Rasulullah.” “Betul itu. Aku pun ingat demikian,” kata Nuruddin menyokong pendapat Jamaluddin. Nuruddin bertanya: “Jadi, agak-agak apakah pendapatmu tentang mimpiku itu.” Jamaluddin menjawab: “Menurut pendapat hamba, ada rancangan jahat dari orang tertentu yang ditujukan kepada Rasulullah, dan Rasulullah tidak menyenanginya. Tuanku diberi tugas untuk menggagalkan rancangan jahat tersebut.”

Nuruddin seolah-olah dikeluarkan dari kebuntuannya setelah mendengar tafsiran daripada Jamaluddin. Baginda percaya bahawa pendapat menterinya itu benar belaka. Berkata Nuruddin: “Pendapatmu betul, sekarang ke mana dan bagaimana kita mesti mencari dua lelaki yang ditunjuk oleh Rasulullah itu?” Jamaluddin mengajukan usul: “Bagaimana kalau sekiranya baginda raja yang pergi ke Madinah Al-Munawwarah terlebih dahulu. Di sanalah tuanku dapat berdoa di makam Rasulullah yang mulia, memohon petunjuk kepada Allah di sisi kubur kekasihNya. Mudah-mudahan, di sana tersingkap rahsia mimpi paduka itu.”

Semua persediaan dan perbekalan segera dipersiapkan. Maka pada hari yang telah ditetapkan, beribu-ribu rakyat ibu kota berpusu-pusu di hadapan istana negara untuk mengucapkan selamat jalan kepada Raja yang mereka hormati. Berangkatlah Raja yang adil bersama beberapa pegawai tinggi negara menuju Madinah.

Di setiap kampung yang dilaluinya, baginda disambut mesra oleh rakyatnya. Baginda merasa puas dapat berjumpa dengan berbagai rakyatnya. Rakyat pun berasa gembira melihat Raja yang berjiwa rakyat dan tidak putus-putusnya tersenyum kepada semua rakyat. Namun, di sebalik senyuman raja yang dilepaskan kepada rakyatnya, ada perasaan risau dan ngeri yang menghantui baginda secara berterusan. Yakni wajah kedua lelaki yang dilihat dalam mimpinya selalu membayangi kemana sahaja baginda pergi. Tidak sesaat pun wajah itu hilang dari pandangan baginda. Baginda juga dapat menggambarkan dengan jelas tentang perwatakan kedua lelaki itu baik dari bentuk wajahnya, matanya, susunan giginya, mulutnya, janggutnya bahkan kesemua seluruh tubuh kedua mereka itu. Kalau, kedua lelaki itu melintas di hadapan baginda maka sudah pasti, baginda akan menangkapnya. Disebabkan baginda sentiasa asyik memikirkan tentang kedua lelaki itu, kadang-kadang baginda terpisah dari rombongannya. Baginda tidak putus asa untuk mencari kedua lelaki itu, baginda pergi secara persendirian mengembara antara bukit-bukit.

Para pengawal tidak berani menegur apa-apa sebaliknya mereka hanya memerhatikan Raja mereka dari jauh. Hanya menteri Jamaluddin sahaja yang sesekali mengingatkannya apabila beliau terpisah jauh dari rombongan. Setelah beberapa hari perjalanan, rombongan baginda sampai di sempadan Madinah. Jamaluddin memberitahu baginda: “Tuanku, sekejap lagi kita akan memasuki ke kota Rasulullah SAW, oleh itu bersiap sedialah tuanku.” Berkata Raja: “Apakah cara yang harus aku lakukan untuk memasuki kota yang mulia itu?” Berkata Jamaluddin: “Pertama hendaklah tuanku mandi dan bersuci, kemudian masuklah ke masjid Quba’ dan bersolat tahiyyatul masjid, ini adalah untuk menghormati masjid yang dibina dengan tangan Rasulullah SAW sendiri.” Kemudian Raja dan rombongannya mengikut arahan Jamaluddin, setelah selesai mengerjakan solat di masjid Quba’, rombongan diraja menuju ke taman Raudhah. Di taman yang mulia inilah jenazah yang teramat mulia Rasulullah SAW bersemadi.

Perasaan mereka yang berada di hadapan tempat jenazah baginda Rasulullah SAW disemadikan adalah amat berlainan sekali, mereka berasa seolah-olah berada di satu alam yang lain. Lalu Raja mengangkat tangannya tinggi-tinggi dan memohon kepada Allah SWT supaya rahsia di sebalik mimpinya itu di perlihatkan kepadanya sebelum kedua manusia jahat melaksanakan niat jahat mereka. Degupan hati Raja yang begitu khusyuk dalam doanya menyebabkan air mata mengalir tanpa disedarinya. Memang di sinilah salah satu tempat diperkenankan doa. Wajah Rasulullah SAW semakin jelas di mata Raja seolah-olah Rasulullah SAW menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Raja. Baginda terdengar suara dekat telinganya yang berbunyi: “Kenalilah aku, dan bebaskanlah aku dari kedua lelaki ini.”

Setelah baginda raja berdoa dengan penuh khusyuk di taman Raudhah, kemudian datang petunjuk dari Allah seolah-olah beliau dapat menyingkap tafsir mimpinya itu di kota mulia tempat bersemayamnya Rasulullah SAW. Oleh kerana Raja Nuruddin ingin segera mengetahui makna mimpinya yang menakutkan itu, lalu beliau memanggil gabenor Madinah dengan berkata: “Saya mahu kamu kumpulkan kesemua penduduk Madinah tanpa ada sesiapa pun yang dikecualikan, saya ingin bersalaman dengan mereka.” Berkata gabenor Madinah: “Baik tuanku, segala titah raja akan dijalankan.” Gabenor Madinah pun segera menyampaikan pesanan raja kepada penduduk Madinah dan penduduk yang berhampiran dengan kota Madinah.

Berkata gabenor Madinah kepada penduduk kota Madinah dan sekitarnya: “Atas perintah Raja Nuruddin, semua rakyat Madinah dan kawasan yang berhampiran denganya, sama ada lelaki atau wanita, tua atau muda dari berbagai jenis agama dikehendaki hadir di dewan orang ramai, kerana baginda Raja Nuruddin hendak bertemu dengan semua penduduk di sini.” Setelah berita disebarkan maka orang ramai bersama seisi keluarga segera pergi ke dewan orang ramai dengan perasaan gembira, tidak seorang pun yang tertinggal. Mereka yang tua dan uzur diusung sehingga banyak sekali usungan yang kelihatan dalam perjalanan menuju ke dewan orang ramai. Apabila seluruh penduduk kota Madinah telah berkumpul, gabenor Madinah pun melapurkan kepada Raja: “Tuanku, semua rakyat telah berkumpul dan mereka sedang menunggu kehadiran tuanku.” Berkata Raja Nuruddin: “Apakah kamu yakin bahawa semua rakyat telah datang untuk bersalaman dengan saya?” Berkata gabenor Madinah. “Insya Allah.” Setelah Raja mendengar penjelasan dari gabenor, Madinah, maka Raja pun segera pergi ke tempat orang ramai yang sedang menunggunya. Wajah kedua lelaki yang datang dalam mimpinya semakin mencabar di hadapannya.

Setelah baginda Raja sampai di tempat dewan orang ramai, maka baginda pun memandang kepada rakyat sebagai penghormatan. Mata Raja Nuruddin sentiasa mencari-cari wajah yang menjadi buruannya, tetapi tidak juga kelihatan. Raja Nuruddin semakin risau, beliau duduk sekejap dan berbincang dengan pegawai-pegawai dari Madinah. Berkata Raja, Nuruddin: “Apakah masih ada rakyat yang melepaskan peluang untuk bertemu dengan saya? Cuba siasat sekali lagi.” Kemudian para pegawai dari kota Madinah berbincang sesama mereka, mereka cuba mengingati wajah-wajah yang tidak hadir. Tiba-tiba seorang pegawai berkata dengan serius dan bersemangat: “Betul tuanku, hamba ingat masih ada dua orang kenamaan di Madinah yang tidak hadir di sini, mungkin kedua mereka tidak mendengar berita tentang ketibaan baginda tuanku ke sini.”

Raja Nuruddin berkata: “Di mana mereka berada, dan siapakah mereka itu?” Denyutan jantung Raja Nuruddin semakin cepat, tetapi beliau menahan perasaannya. Orang yang mengenali kedua lelaki itu berkata: “Mereka berdua adalah ahli tasawwuf dan ahli hikmah, sangat wara’ dan sangat banyak ibadahnya, sesiapa sahaja yang pergi kepada mereka akan menerima fatwa-fatwa yang menyejukkan dan menerima sedekah. Dan kedua mereka juga adalah dermawan dan telah banyak sekali membantu fakir miskin.” Raja Nuruddin sangat tertarik dengan huraian pegawainya dan beliau berkata: “Saya ingin sangat untuk bertemu dengan kedua mereka, jemputlah mereka sekarang juga.”

Tidak berapa lama kemudian kedua mereka itu pun datang ke dewan orang ramai setelah diundang. Kedua mereka berjalan dengan tunduk dan tawadhu’, sementara mulut mereka tidak berhenti-henti berzikir kepada Allah SWT. Apabila kedua mereka berdiri di hadapan Raja Nuruddin, Raja Nuruddin terperanjat kerana kedua mereka itulah yang muncul dalam mimpinya. Dalam hati Raja Nuruddin berkata: “Demi Allah orang inilah yang datang dalam mimpiku.” Walaupun kedua mereka itu berada di hadapan beliau, beliau belum pasti sama ada beliau bermimpi atau tidak, lalu beliau menggosok kedua biji mata beliau dan dibukanya mata beliau terang-terang. Ternyata kali ini beliau tidak mimpi, beliau kini berada betul-betul di hadapan orang yang menjadi buruan beliau. Raja Nuruddin memandang mereka dari semua segi, dari segi bentuk muka mereka, susunan gigi, mata dan lain-lain. Akhirnya beliau meyakini dengan seratus peratus bahawa memang sah kedua lelaki itulah yang muncul dalam mimpinya. Kalau ikutkan hati Raja Nuruddin hendak ditanya sahaja: “Siapakah kamu berdua ini.” Raja Nuruddin bertambah hairan melihat kedua mereka, ini adalah kerana kedua mereka itu begitu khusyuk dan tawadhu’, gerak-geri mereka tidak sedikit pun mencurigakan.

Segi rambut pula ikut sunnah, serban pula ikut cara Rasulullah. Sewaktu bersalaman menunjukkan adab seorang alim dan ahli tasawwuf, tutur katanya pula penuh hikmah dan selalu berasaskan Al-Quran dan Al-Hadith. “Tetapi mengapa Rasulullah minta dibebaskan dari dua orang itu? Apakah dosa yang telah diperbuat oeh keduanya? Begitulah pertanyaan yang keluar dari hati Raja Nuruddin. Beliau hairan dan tidak tahu apa yang hendak dibuat, namun demikian tidak seorang pun yang dapat membaca perasaan Raja Nuruddin. Raja Nuruddin serba salah kerana orang ramai mengenali kedua mereka sebagai orang yang alim dan menunjukkan sikap yang penuh tasawwuf, baginda Raja juga menghormati kealiman dan ketasawwufan mereka. Oleh kerana Raja Nuruddin tidak dapat membuat apa-apa keputusan maka majlis pada hari itu bersurai setelah baginda Raja bersalam dengan semua rakyatnya seperti yang dijanjikan. Setelah majlis perhimpunan yang pertama selesai, orang ramai pun bersurai dan mereka merasa puas hati kerana dapat bersalam dengan Raja mereka. Gebenor Madinah merasa sangat gembira kerana majlis itu mendapat sambutan yang sungguh menggalakkan. Satu-satunya orang yang tidak puas hati ialah Raja Nuruddin, kerana teka-teki yang menghantuinya belum terjawab.

Selepas menunaikan solat Raja Nuruddin beristighfar dan berzikir banyak-banyak, kemudian beliau berdoa dengan doa yang amat panjang, dalam doa tersebut beliau meminta petunjuk yang lebih jelas dari Allah SWT. Ketika Raja Nuruddin duduk bersendirian, lalu datang menterinya Jamaluddin dengan berkata: “Wahai tuanku, sudahkah tuanku jumpa dengan dua lelaki yang tuanku cari itu?” Berkata raja Nuruddin: “Ya, sudah.” Jamaluddin bertanya: “Yang mana satu tuanku?” Berkata Raja Nuruddin: “Jemputan yang terakhir sekali, saya pasti itulah orang yang ditunjuk oleh Rasulullah SAW dalam mimpiku.” Jamaluddin diam sambil mengangguk-anggukka n kepalanya, pertanda dia sedang memikirkan sesuatu. Berkata Raja Nuruddin: “Tapi yang peliknya saya tidak dapat sesuatu yang mencurigakan pada diri mereka itu, keadaan keduanya memang seperti yang diceritakan oleh orang. Akhlaknya, gerak-gerinya dan tutur katanya semuanya menggambarkan keperibadian Rasulullah SAW. Inilah yang membuat saya rasa pelik sangat, entah dosa apa yang telah mereka lakukan?”

Setelah Jamaluddin mendengar kata-kata Rajanya maka dia pun berkata: “Tuanku, ketahuilah bahawa seseorang yang pada zahirnya menunjukkan baik, segalanya mengikut cara Rasulullah SAW belum tentu hatinya baik. Boleh jadi ia hanya berpura-pura supaya orang ramai tidak mencurigainya, padahal dia adalah musuh yang jahat.”
Berkata Raja Nuruddin: “Betul katamu itu, kerana memang ramai orang-orang kafir berpura-pura Islam, sedangkan tujuannya untuk menghancurkan Islam dari dalam. Allah SWT telah berfirman dalam Al-Quran yang bermaksud: “Dan di antara manusia ada yang ucapannya tentang kehidupan dunia, sangat menarik perhatianmu, dan di persaksikannya Allah (atas kebenaran) isi hatinya, padahal ia sebenarnya adalah musuh yang jahat.”

Raja Nuruddin memang tahu tentang tipu helah orang-orang kafir yang sentiasa hendak merosakkan Islam dengan berbagai cara. Berkata Raja Nuruddin lagi: “Apakah yang harus kita lakukan?” Berkata Jamaluddin: “Tuanku mestilah mengadakan perisikan ke rumah orang itu secara sulit.” Raja Nuruddin dan menterinya Jamaluddin mengadakan perbincangan secara rahsia tentang cara yang terbaik untuk mendapatkan maklumat tentang pergerakan kedua lelaki yang disyaki. Setelah sekian lama mereka berbincang akhirnya mereka mendapat satu cadangan yang baik, yakni orang ramai dijemput untuk menghadiri rumah terbuka atas arahan Raja Nuruddin.

Kedua orang yang disyaki juga diundang sebagai tetamu kehormat. Rahsia ini tetap menjadi rahsia antara Raja dengan menterinya. Gabenor Madinah diberikan tugas untuk menjayakan majlis tersebut. Setelah saat yang dinantikan telah tiba, maka ramailah orang yang datang menghadiri majlis tersebut. Kedua lelaki yang disyaki juga awal-awal lagi telah berangkat menuju ke majlis diraja. Apabila Raja Nuruddin dan Jamaluddin melihat kedua lelaki alim itu telah keluar dari rumah mereka, kemudian Raja Nuruddin, Jamaluddin dan beberapa pengawal pergi ke rumah orang alim itu. Kesemua bahagian dalam rumah itu di periksa oleh Raja Nuruddin, malangnya tidak satu pun benda yang mencurigakan. Sebaliknya dalam rumah tersebut terdapat banyak ayat-ayat Al-Quran yang digantung dan juga hadith nabi. Dalam almari orang alim itu dipenuhi dengan kitab-kitab agama feqah dan juga tasawwuf, keadaan rumah itu menggambarkan seolah-olah pewaris Nabi SAW. Hati kecil Raja Nuruddin masih bertanya: “Apalagi yang harus aku syaki? Kenapa Baginda Rasulullah SAW minta pertolongan dariku supaya dibebaskan dari kedua lelaki ini?”

Setelah merasa puas dengan selidikan di rumah tersebut Raja Nuruddin mengambil keputusan untuk keluar dari rumah tersebut, tetapi apabila baginda Raja hendak melangkah keluar dari rumah tersebut, datang ilham yang membuat beliau teringin benar untuk melihat sebuah permaidani yang sangat indah terbentang di sudut rumah. Raja Nuruddin merasa sangat kagum dengan keindahan dan kehalusan permaidani yang di anggap cukup mahal itu.
Raja Nuruddin tidak puas dengan melihat sahaja kecantikan permaidani tersebut, tetapi beliau membelek-belek permaidani tersebut. Sewaktu membelek permaidani itu Raja Nuruddin terlihat di bawah permaidani itu terdapat papan dan beliau berkata: “Eh, ada papan.” Raja Nuruddin mulai curiga tentang papan itu, lalu baginda mengangkat papan itu perlahan-lahan, ternyata di bawah papan itu mempunyai sebuah terowong yang mempunyai tangga. Raja Nuruddin meneliti arah perginya terowong tersebut, akhinya beliau terkejut dan berkata: “Maasya Allah, terowong ini menuju ke arah kubur Rasulullah SAW.” Kemudian Raja Nuruddin mengeluarkan arahan: “Tangkap kedua orang itu.” Dengan terbongkarnya rahsia itu maka yakinlah Raja Nuruddin akan makna mimpinya itu, kedua lelaki yang menyamar sebagai alim itu adalah musuh yang hendak mencuri jasad Rasulullah SAW. Dengan terbongkarnya rahsia kedua orang itu, maka orang ramai pun datang untuk menyaksikan peristiwa di rumah orang alim itu.
Beberapa orang telah turun ke dalam terowong yang sangat jauh itu dan akhirnya mereka mendapati bahawa terowong yang digali oleh kedua orang itu sudah hampir benar dekat pada jasad Rasulullah SAW. Setelah mendapat kepastian dari orang yang masuk ke dalam terowong itu, orang ramai tidak tahan sabar lagi. Lalu kedua-dua mereka dipukul dengan teruk sekali, kemudian kedua mereka dibawa ke pengadilan. Dalam mahkamah keduanya berterus terang dengan berkata bahawa kedua-dua mereka telah tinggal di Madinah lebih dari setahun sebagai agen Yahudi. Orang-orang Yahudi memberi perbelanjaan yang cukup banyak pada keduanya untuk tujuan mencuri jasad Rasulullah dari kuburnya, tujuannya ialah apabila jasad Rasulullah berada di tangan Yahudi mereka dengan mudah dapat merendahkan martabat Kekasih Allah dan seterusnya menghina umat Islam. Umat Islam di Madinah rasa tertipu oleh kedua orang Yahudi itu, akhirnya kedua orang Yahudi itu dijatuhi hukuman mati.

Raja Nuruddin sujud syukur kepada Allah SWT kerana tugas yang diberikan oleh Rasulullah SAW kepadanya telah berjaya diselesaikan dengan berkat hidayah dan pertolongan- Nya. Untuk mengelakkan supaya kejadian seperti itu tidak berulang lagi, Raja Nuruddin memerintahkan supaya ke empat penjuru sekeliling kubur Rasulullah dipagar dengan kongkrit sampai ke bawah tanah. Sebelum Raja Nuruddin berlepas dari Madinah sekali lagi beliau bermimpi berjumpa dengan Rasulullah SAW, kali ini Rasulullah merangkul dan memeluk leher beliau. Apabila telah tiba masanya Raja Nuruddin hendak meninggalkan kota Madinah, beliau memberi taklimat terakhir kepada penduduk Madinah akan kejahatan dan dendam orang Yahudi terhadap Islam, dendam orang Yahudi terhadap Islam akan berterusan. Raja Nuruddin pun kembali ke Mosul dengan diiringi doa dan air mata oleh sekalian rakyat yang mencintainya.
Allahu a’lam..

Dr laman:
Darul Nu’man

Red Devil, Jersi Bola, Salib & Hukum Fiqh




Assalamualaikum ustaz, saya adalah salah seorang peminat bola sepak dunia.. saya meminati banyak pasukan Eropah. ini kerana ada lambang Salib Setan .. saya mahu tahu adakah saya sebagai seorang muslim boleh memakai jersi tersebut. Saya hanya meminati pasukan tersebut, sekiranya tidak boleh dipakai, adakah dalil yang melarang kita memakainya. Saya ada berbincang bersama rakan - rakan, mereka beritahu saya bahawa kita boleh memakai asalkan kita tidak mengagungkan lambang tersebut. Saya memang ragu - ragu dalam hal ini. Tolonglah selesaikan masalah saya ini ustaz. sekian, wassalam.

JAWAPAN
Wa'alaikumussalam,
Apa-apa sahaja logo jika adalah benar-benar sebuah lambang salib, ia tidak boleh dipakai sama ada di baju atau lainnya bagi seorang Muslim. Kerana penganut Islam tidak dibenarkan mengiklankan sebarang perkara yang bertentangan dengan Islam.

Dalilnya adalah cukup mudah iaitu firman Allah:-

وَلاَ تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلإِثْمِ وَٱلْعُدْوَانِ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ
Ertinya : dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya ( Al-Maidah : 2)
Imam Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini membawakan sebuah hadis yang menjelaskan lagi larangan member apa jua bantuan sama ada tersirat dan tersurat kepada hal ehwal yang bertentangan dengan aqidah dan hukum Islam.

Hadisnya
ومن دعا إلى ضلالة كان عليه من الإثم مثل آثام من اتبعه إلى يوم القيامة ، لا ينقص ذلك من آثامهم شيئا
Ertinya : Barangsiapa yang menyeru atau mengajak ke arah sesuatu yang sesat (dosa), dia akan menanggung dosanya sebagaimana dosa-dosa orang yang mengikuti ajakan dan seruannya sehinggalaha hari kiamat, tidak terkurang dosa itu walau sedikit ( Riwayat Muslim & Ibn Majah )

Jika ia bukan lambang salib, tapi hanya dirasakan sebagai salib hasil imaginasi sendiri, maka tiada masalah untuk memakainya, contohnya seperti kereta Chevrolet. Lambang kereta ini, seseorang individu mungkin menganggapnya sebagai salib namun individu yang lain mungkin merasakan sebaliknya termasuk orang kristian sendiri. Apapun, jika seseorang itu secara tidak dapat dikawal sentiasa terbayang merasakan ia lambang salib, tatkala itu, elok ia dijauhi juga. Namun, dalam konteks biasa, logo kereta tersebut bukanlah salib.

Satu persoalan berkaitan adalah lambang Red Devil pada logo Manchester United.
Walaupun hakikat sebenarnya kita tidak tahu bentuk Syatitan yang sebenarnya, namun apabila manusia telah membuat imaginasi tersendiri berkenaan bentuk Syaitan, menamakannya sebagai Devil dan diterima umum sebagai satu lambang Devil. Tatkala itu lambang Red Devil yang berada di logo Manchester United juga termasuk dalam antara logo-logo yang TIDAK BOLEH, diiklankan dan disyiarkan (ditayang dan dibanggai) oleh seorang Muslim sama ada ditampal di dinding mahupun digunakan di atas pakaiannya.

Justeru, apa-apa logo jika telah diterima umum sebagai satu lambang syaitan, kemungkaran, kejahatan, heavy metal dihiasi amalan dan perbuatan kesyaitanan seperti (Black Metal). Logo itu telah menjadi haram untuk digunapakai.

Berbalik kepad Red Devil, jika ia benar-benar membawa imej umum sesuatu yang bersifat kesyaitanan, atau apa-apa aktiviti kesyaitanan dan dosa. Tatkala itu sudah termasuk dalam kategori Black Metal dan sememangnya tidak terlepas dari hukum haram.

LOGO MANCHESTER UNITED HARUS DAN MAKRUH BILA ?
Tetapi jika imej kesyaitanan dan aktviti dosa besar seperti Black Metal tersebut tidak berkait dengan Red Devil, kerana ia lebih membawa imej umum kepada hal bola sepak dan sukan, tatkala itu ia masih boleh digunakan.

Begitu juga jika ada individu tertentu boleh menyongsang arus lalu mendakwa ia berjaya mengelakkan hati dan pemikirannya dari mengakui ia sebuah lambang syaitan, dan kekal merasakan ia hanya sebuah lambang kumpulan bola sepak terkenal dunia yang tiada kaitan dengan syaitan atau sepertinya, tatkala itu BOLEH dan DIHARUSKAN baginya untuk memakainya.

Walaupun begitu, jika ia boleh menimbulkan fitnah di kalangan orang lan yang melihat, sehingga pemakai dianggap selaku menyokong sesuatu yang diharamkan, hukum HARUS berubah kepada makruh. Kesimpulannya, dalam hal Red Devil, hukum boleh jadi berbeza-beza kerana kepercayaan, keyakinan si pemakai dan orang yang melihat. Yang terbaik, sudah tentulah menjauhinya akibat rasa syubhah yang wujud.

Yang pasti, individu yang soleh dan mengabdikan diri kepada Allah tidak akan sama sekali memerlukan logo ini di dalam kehidupannya. Jika berminat sekalipun, cukuplah menyokong pasukan tersebut dalam pertandingannya tanpa perlu melibatkan diri dan menghabiskan duit dengan membeli jersi-jersi dan barang berlogo sebegitu.

Namun begitu, memakai jersi pasukan Liverpool yang dengan jelas memaparkan logo arak Carlsberg adalah muktamad hukumnya adalah HARAM menurut hukum Islam berdasarkan dalil-dalil dan hujah sebelum ini dan juga yang diberikan di bawah.

Selain dalil Al-Quran di atas, sebahagian dalil lain kepada pengharaman mengguna termasuk memakai sesuatu yang diharamkan untuk Muslim adalah hadis :-

نهانا رسول الله صلى الله عليه وسلم أن نشرب في آنية الذهب والفضة وأن نأكل فيها، وعن لبس الحرير والديباج وأن نجلس عليه، وقال: هو لهم (أي للكفار) في الدنيا ولنا في الآخرة
Ertinya : Rasulullah Sallahualahiwassalam telah melarang kami makan dan minum dari bekas yang diperbuat dari emas dan perak, dan memakai (kaum lelaki) pakaian dari sutera dan juga menggunakannya untuk alas duduk, baginda juga berkata : itu semuanya untuk orang kafir di dunia, dan kita hanya dibenarkan di Syurga kelak. ( Riwayat Al-Bukhari)
Berasaskan dari hadis terbabit, lalu para ulama membuat kesimpulan sebuah kaedah iaitu :-

وما حرم استعماله حرم اتخاذه تحفة وزينة

Ertinya : dan apa-apa yang diharamkan penggunaanya, diharamkan juga mengambilnya sebagai baranngan yang disayangi ( barang dianggap berharga = masterpiece) dan perhiasan. ( Al-Halal Wal Haram Fil Islam, Dr Yusuf Al-Qaradawi)
Kaedah ini menjawab persoalan sama ada ia diagungkan atau tidak, hakikatnya pemakaian, menjadikan hiasan sama ada sebagai pakaian, hiasan di rumah dan ditontonkan kepada orang ramai itu adalah sebenarnya secara langsung merupakan satu bentuk pengagungannya.

KESIMPULAN

Hukumnya memakai baju kumpulan bola berlambang salib secara jelas dan berlogo apaapa jenama yang diharamkan oleh Islam seperti Carlsberg itu adalah berdosa dan diharamkan untuk orang Islam memakainya dan dijadikan perhiasan dan masterpiece yang dibanggai.
Mankala hukum memakai pakaian yang berlambang Red Devil adalah di antara Harus dan Makruh sebagaimana yang disebutkan situasi berbezanya di atas. Namun, sekiranya ia benar-benar dianggap sebagai logo dan tanda Devil dan tanda negatif dan kejahatan bagi masyarakat awam di sesuatu tempat, ia boleh berubah menjadi haram.
Manakala menggunakan kereta berlogo Chevrolet adalah harus.